Sunday, 25 January 2015

KAEDAH URUTAN UNTUK BAYI

DISEDIAKAN OLEH:

PUAN SITI FATIMAH ABDUL GHANI K.B.,P.A
KAUNSELOR BERDAFTAR/ PERUNDING PSIKOLOGI KANAK-KANAK, REMAJA DAN DEWASA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA



Segmen ini untuk kanak-kanak antara usia bawah 6 tahun.
                                          
Panduan selamat urut anak


  1. Usia paling sesuai untuk seorang anak kecil menerima urutan pada tubuh mereka. Boleh puan jelaskan tentangnya?
Pada asasnya, definisi urutan adalah amat luas. Urutan secara kasarnya berkemungkinan besar tertumpu kepada kaedah rawatan menggunakan tangan, jari, kaki atau anggota badan yang tertentu terhadap beberapa bahagian badan sama ada sakit, penat, bermasalah ataupun yang memerlukan rawatan. Namun apabila diperincikan, urutan juga boleh berlaku dalam situasi yang melibatkan sentuhan lembut dari seorang individu kepada individu yang lain khususnya bayi untuk mewujudkan satu getaran rasa yang aman, tenang bahagia dan selamat.
Justeru, apabila menyentuh tentang urutan kepada bayi, maka ianya boleh dilakukan mengikut cara dan kaedah yang lembut dan penuh kasih sayang serta berhati-hati. Urutan ini boleh dilakukan kepada semua peringkat usia bayi dengan mengambil kira fahaman urutan lembut dan bertujuan untuk menimbulkan rasa aman, selamat dan seronok dalam kalangan bayi sehingga ke peringkat kanak-kanak. Fahaman ini selaras dengan perspektif psikologi menerusi Teori Hierarki Keperluan Manusia oleh seorang tokoh psikologi Barat iaitu Abraham Maslow. Menerusi hierarki keperluan ini, peringkat paling asas yang perlu dipenuhi oleh manusia itu ialah keperluan fisiologi, keperluan keselamatan dan seterusnya keperluan kasih- sayang. Ketiga-tiga keperluan ini diyakini membolehkan setiap manusia itu berkembang dengan sihat, positif dan mencapai tahap kesempurnaan kendiri apabila dewasa.
Menyentuh tentang hierarki keperluan ini, jelas bahawa urutan dalam bentuk sentuhan kasih-sayang oleh ibu bapa atau penjaga serta orang dewasa kepada bayi merupakan antara salah satu cara berkesan dalam pengaliran tenaga positif terhadap bayi. Pun begitu, perlu ditekankan di sini bahawa sekiranya urutan itu melibatkan masalah-masalah bahagian badan bayi, maka sebaiknya perlu dirujuk kepada bantuan perubatan yang sepatutnya. Keadaan ini mengambil kira sesetengah ibu bapa atau penjaga yang mudah cemas atau tidak mempunyai cukup pengetahuan dan kemahiran berkenaan sistem badan bayi. Terdapat segelintir mereka yang cenderung untuk membuat urutan kepada bayi yang mungkin terjatuh atau terseliuh. Maka urutan dalam keadaan ini dikhuatiri boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan bayi.
  1. Kelebihan urutan untuk kanak-kanak.
Dalam pendekatan psikoterapi, terdapat satu kaedah terapi dikenali sebagai Theraplay Therapy. Kaedah ini merupakan satu kaedah yang melibatkan sentuhan dan belaian yang dikaitkan dengan perluahan emosi antara ibu atau bapa dan anak mereka. Kaedah ini semakin dipopularkan oleh pengamal psikoterapi di Malaysia kerana ia mampu mengeratkan hubungan dan keakraban antara ibu bapa dan anak. Sesi Theraplay Therapy diyakini mampu menimbulkan jalinan emosi yang positif, mesra dan aktif anatara ibu bapa/ penjaga dengan kanak-kanak. Selain itu, ia juga membantu dalam menghasilkan persepsi positif kanak-nakan terhadap diri mereka dari aspek keselamatan dan kasih- sayang.
Theraplay ini bersesuaian dengan semua tahap usia kanak-kanak termasuk bayi, dan ianya juga jika digabungkan dengan kaedah atau teknik yang bersesuaian maka ia juga sesuai untuk remaja (dengan mengambil kira norma sosial, budaya dan agama).  Menerusi Theraplay, corak interaksi dalam keluarga juga boleh diperbaiki, malahan secara saintifiknya juga, pelbagai kajian dikebanyakan Negara Barat mendapati kaedah urutan dan sentuhan Theraplay menghasilkan perubahan positif terhadap tingkah laku kanak-kanak, keyakinan diri, dan kemahiran sosial dengan orang lain. Theraplay ini membantu dan berkesan kepada kanak-kanak yang mempunyai pengalaman trauma serta pelbagai masalah emosi yang lain. Antara kaedah terapi yang sering dijalankan menerusi kemahiran ini ialah seperti urutan lembut, sentuhan erat dan belaian manja kepada anak-anak seperti penggunaan losyen, bedak, minyak zaitun dan banyak lagi. Situasi ini pastinya telah biasa dilakukan, namun ianya hanyalah aktiviti biasa dan bukan berbentuk terapeutik kerana kurang penglibatan emosi yang positif antara ibu bapa dan anak. Jika aktiviti ini disertai dengan perluahan emosi yang nyaman, bahagia, seronok serta penuh kasih- sayang maka sudah pasti ia mampu memberi kesan yang luar biasa dalam bentuk emosi dan spiritual kepada ibu bapa dan anak.
Selain daripada aspek psikologi, urutan juga amat bermanfaat kepada bayi atau kanak-kanak menerusi aspek perubatan. Antara manfaat urutan menerusi perspektif perubatan ialah seperti berikut:
> Memperbaiki perjalanan darah.
> Merangsang deria.
> Mengurangkan tekanan.
> Memperbaiki sistem penghadaman.
> Meningkatkan daya ketahanan badan.
> Merangsang perkembangan fizikal dan psikologi.
> Membantu memudahkan bayi tidur.
> Merangsang aliran oksigen dalam badan.
> Memudahkan penyingkiran bahan toksin.
> Membantu perkembangan fungsi otot.
> Membantu meredakan kesakitan apabila demam.
> Merangsang penghasilan hormon.
  1. Apakah panduan selamat untuk pilih jenis urutan pada anak-anak.
Antara panduan selamat untuk memilih jenis urutan pada anak-anak ialah seperti berikut:
-       Mempunyai pengetahuan asas berkenaan jenis-jenis urutan
-       Mengetahui tentang tempat atau bahagian badan bayi yang sensitif dan perlu dielakkan. Contohnya bahagian yang melibatkan percantuman otot-otot, deria-deria penglihatan, otak, usus dan juga organ dalaman.
-       Dilakukan dengan cara yang lembut dan tidak menyakitkan
-       Tidak memaksa atau mendesak anak untuk menerima urutan kerana dikhuatiri akan memudaratkan anak-anak baik secara fizikal mahupun emosi.
-       Mendapatkan latihan asas menerusi pembacaan, bengkel atau yang berkaitan.

  1. Ibu bapa yang mahu mengurut anaknya sendiri di rumah. Apakah teknik selamat yang boleh dipraktikkan.
Teknik yang paling selamat ialah dengan menggunakan minyak urut atau losyen yang bersesuaian agar tidak berlaku infeksi terhadap kulit atau bahagian badan anak-anak. Antara bahagian yang dianggap sebagai paling asas untuk urutan ialah muka dan tapak tangan dan kaki. Secara tradisionalnya kaedah urutan sering dilakukan sejak bayi baru dilahirkan lagi seperti bahagian muka, kaki, tangan danm juga badan (sekitar perut bayi) terutamanya dalam tempoh pasca kelahiran. Selain tujuannya untuk memberi keselesaan kepada bayi, urutan pada peringkat ini juga bertujuan untuk membentuk kaki dan tangan yang lurus dan tidak bengkok tetapi dilakukan secara lembut dan berhati-hati. Kaedah tradisional yang dilakukan oleh kebanyakan ibu ialah bendung bayi dengan membalut bayi pada bahagian perut bagi mengelak masalah kembung perut serta angin. Begitu juga kaedah bendung badan bayi secara menyeluruh selain bahagian muka bagi membolehkan bayi tidur dengan lena,  selesa dan pembentukan bahagian badan yang elok.
  1. Langkah demi langkah untuk memulakan urutan yang selamat.
Kaedah di bawah boleh dijadikan panduan.
Mulakan urutan dengan:
1. Kaki — Urut menghala menjauhi jantung dengan usapan bentuk C. Urutan bermula di buku lali, bergerak ke paha dan balik ke buku lali. Bengkok dan luluskan kaki bayi serta buat pergerakan seperti mengayuh dan lakukannya secara perlahan-lahan. Buat latihan jari dengan membengkok dan meluruskan setiap jari supaya semua sendi digerakkan. Tolak sedikit jari ke belakang perlahan-lahan.
2. Perut — Gunakan kedua-dua tangan. Lebih mudah jika anda di hujung kepala bayi. Urut perutnya perlahan-lahan dalam bentuk huruf U. Pegang kakinya dan bengkokkan hingga ke perut.
3. Tangan — Ulang proses sama seperti mengurut kaki.
4. Dada — Urut dengan menggunakan tapak tangan. Urut ke arah keluar (melintang) dari tengah dada menghala ke atas sehingga ke bahu, dan turun ke tulang rusuk. Urut secara menyerong dari paha kanan ke bahu kiri. Ulang untuk kaki sebelah lagi.
5. Muka — Urut secara bulatan kecil pada kulit kepala. Urutan ini juga boleh dilakukan ketika mandi dan memakai syampu. Usap dahi, keliling mata dan kening. Untuk pipi, usap secara melintang dari tulang pipi ke telinga. Urut secara bulatan di bawah dagu, keliling telinga dan tengkuk. Urut perlahan-lahan dengan memberi sedikit tekanan. Cara ini akan membuatkan bayi berasa lebih selesa.
6. Belakang badan — Tiarapkan bayi anda. Gunakan minyak dan urut badan belakang dari atas tulang belakang hingga ke pangkal punggung menggunakan kedua-dua tangan. Buat urutan secara bulatan dari bahu, turun ke badan, punggung, paha dan kaki.
Urut bahu menggunakan tapak tangan dan akhiri dengan satu usapan panjang dari bahu ke kaki. Urutan ini mengambil masa antara 20 hingga 30 minit dan kanak-kanak akan lebih tenang serta segar apabila diurut.
(Sumber
  1. Adakah kaedah urutan tertentu untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur.
Sebaiknya dicadangkan agar ibu bapa atau penjaga berusaha untuk meningkatkan pengetahuan berkenaan kaedah urutan kepada bayi menerusi pembacaan, perkongsian maklumat serta komunikasi seharian supaya perkara baik dan bermanfaat ini boleh dikongsi bersama-sama individu yang lain.





No comments:

Post a Comment