Thursday, 1 October 2015

PANDUAN BERNIAGA DENGAN ANAK KECIL DI BAZAR

Ada di kalangan ibu bapa yang akan membawa anak-anak ke pasar atau pusat membeli belah apabila mereka berniaga. Artikel ini memberi panduan kepada ibu bapa cara selamat membawa anak ke tempat bisnes.

Situasi 1:

Kelihatan seorang ibu sibuk berniaga di pasar malam. Ada anak kecil di sampingnya menanti penuh setia. Tersenguk-sengguk keletihan sementara menunggu ibu berniaga alatan permainan. Mata keletihan mahu terlelap, sayangnya tiada ruang untuknya merebahkan badan.


Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Menyediakan tilam kecil atau alas tikar dan kipas angin yang selesa buat anak. Alas seperti tilam yang bersaiz sederhana berserta kipas angin akan memberikan suasana yang selesa buat anak untuk baring atau merebahkan badan.
2)      Penggunaan “Swing and rocker” yang mudah alih juga digalakkan. Alat ini boleh dibeli di kebanyakan kedai permainan/ peralatan kanak-kanak di mana ia boleh bertindak sebagai buaian serta kerusi tetap/ kerusi malas buat anak. Selain menggunakan bateri, peralatan ini juga agak mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Selain bertindak sebagai alat permainan yang mengasyikkan buat anak, ia juga boleh digunakan ketika anak penat dan keletihan serta ingin tidur.
3)      Kereta sorong juga boleh digunakan sebagai alat bantuan buat anak-anak. Ianya menjadi satu kemestian bagi ibu-ibu yang ingin ke mana-mana untuk melakukan tugasan yang tertentu. Selain berfungsi sebagai alat untuk membawa anak bersiar-siar, kereta sorong (stroller) juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk anak berehat apabila keletihan. Alatan ini boleh menjimatkan ruang dan diletakkan di sisi ibu. bagi menjadikannya lebih selesa, maka pastikan penyediaan kipas mini dilekatkan pada bahagian atas kereta sorong. Namun, penggunaan kipas angin mini juga pilihan yang lebih baik.
4)      Jika anak masih bayi, maka penggunaan alat kapsul bayi adalah sesuai. Pastikan ianya diletakkan di tempat yang redup dan di sisi ibu. paling tidak, penyediaan alatan ini menandakan kepekaan ibu terhadap keperluan anak untuk berehat apabila mereka keletihan serta mengantuk. Adalah amat tidak elok untuk membiarkan anak-anak tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk.



Situasi 2:

Peniaga pisang tekun menggoreng pisang yang ditempah pelanggan. Anak kecil di sebelah seronok bermain tanpa menghiraukan bahaya minyak panas yang mungkin terpercik ke arahnya. 

Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Paling praktikal untuk membawa bersama pembantu yang lain yang boleh memerhatikan anak-anak ketika ibu sedang sibuk menyediakan tempahan pelanggan. Jika ibu mempunyai pembantu dan tidak bersendirian ketika meniaga, maka peranan dan tanggungjawab boleh diagihkan bersama. Anak-anak juga tidak terabai dan dibawah kawalan dan pemerhatian.
2)      Memastikan penggunaan kuali dan tempat menggoreng adalah selamat seperti tinggi dan tidak boleh dicapai, kukuh dan tidak mudah terbalik. Penyediaan dan penggunaan peralatan yang selamat ini bukan sahaja penting buat anak-anak tetapi juga si ibu kerana proses ini melibatkan bahan-bahan yang agak berbahaya iaitu api dan minyak panas. Jika tempat letak kuali juga agak goyang dan tidak stabil, dikhuatiri kuali akan terbalik pada bila-bila masa dan membahayakan yang lain termasuk peniaga sendiri.
3)      Selain itu, penggunaan penghadang api atau minyak panas di sekeliling kuali besar ketika menggoreng adalah langkah pencegahan yang baik. Penghadang  yang diperbuat daripada bahan-bahan tahan panas boleh menghalang minyak panas daripada terpercik ke arah pelanggan atau peniaga. Penghadang ini biasanya dipasang di sekeliling dapur atau kuali.
4)      Menyediakan tempat khas buat anak untuk bermain atau berehat. Selain itu, menyediakan keperluan anak-anak supaya mereka leka dan tidak bertindak agresif ketika ibu sedang berniaga. Alat permainan yang disukai anak perlu dibawa bersam. Tips ini menggalakkan anak-anak untuk lebih peka melakukan sesuatu aktiviti yang disukai tanpa mengganggu tugas ibu.

Situasi 3

Ramai pengunjung memeriahkan jualan gudang di pasaraya A. Kesempatan itu digunakan oleh peniaga untuk melonjakkan jualan. Ada sebilangan kecil peniaga yang membawa anak-anak membantunya berniaga. Dalam keributan orang, dibimbangi anak kecil itu berisiko untuk hilang atau tercedera.

Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Didik anak-anak secara berhemah tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan jika mereka mengikut ibu bapa ke tempat jualan tersebut. Bina kontrak perjanjian secara tidak formal dengana anak-anak sebagai satu usaha untuk mewujudkan kefahaman tentang bahaya. Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak tentang risiko atau bahaya yang mungkin wujud. Didikan ini perlu dilakukan secara konsisten dan sering diberitahu kepada anak-anak termasuk juga langkah-langkah jika berlaku hal yang tidak diingini seperti hilang atau cedera.
2)      Penyediaan staf atau pembantu yang mencukupi memandangkan penjualan gudang ini agak sibuk dan ramai orang. Maka ibu bapa wajib melantik seseorang untuk memerhatikan anak-anak dan pastikan orang itu adalah tidak leka dan penuh berhati-hati. Bimbang jika pemerhati sendiri leka dan tidak boleh diharap. Kakitangan yang mencukupi membolehkan tanggungjawab dan peranan dimainkan secara bijaksana dan sistematik.
3)      Sebaiknya bawalah anak-anak yang sudah boleh diharap mengikut peringkat usia yang bersesuaian. Elakkan membawa anak-anak yang masih terlalu kecil atau agak lasak dan agresif ke tempat sebegitu. Selain membahayakan dirinya, ia juga menyebabkan fokus ibu bapa akan terganggu jika sesuatu berlaku kepada anak-anak atau agak cemas ketika menguruskan anak sambil berniaga.
4)      Penyediaan alatan dan keperluan asas seperti kerusi, makanan dan minuman, kipas mini, adalah perlu bagi memastikan keperluan asas tersedia jika diperlukan. Kerusi atau tempat duduk untuk berehat ketika penat amat perlu difikirkan. Ibu bapa perlu peka dengan limitasi kecergasan anak-anak dan tidak harus disamakan dengan tenaga yang dimiliki oleh orang dewasa. Justeru, keperluan dan alatan ini perlu disediakan bagi memberikan keselesaan buat anak-anak.

Situasi 4. 

Banyak barang dagangan diletakkan di bonet kereta. Jualan car boot sale sedang berlangsung. Anak kecil yang mengikut ibu keletihan dan sesetengahnya tidur di ruang tempat duduk belakang kenderaan. Tampak tidak selesa, namun itulah yang termampu ibu berikan.

Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Sama juga seperti situasi yang sebelum ini. Keperluan penyediaan tempat yang sesuai untuk anak berehat ketika kepenatan dan sebagainya. Tempat ini perlu disediakan peralatan yang bersesuaian untuk mereka berehat dan tidur. Penggunaan tilam empuk bersaiz sederhana, kipas angin mini, kereta sorong/ buaian mudah alih mampu memberikan keselesaan buat anak-anak. Selain itu, pastikan tempatnya agak redup dan tidak terlalu terdedah kepada terik mentari.
2)      Khemah kecil juga boleh dibawa bersama dan diletakkan di bahagian tepi kereta atau tempat yang terdekat. Selain memberikan mood untuk bermain dan berimaginasi, anak-anak juga mempunyai tempat untuk berehat.
3)      Elakkan bersendirian dalam melakukan aktiviti jualan ini. Wajib membawa bersama pembantu dalam kalangan keluarga terdekat atau penjaga yang boleh diharap.  Mereka ini boleh membantu ibu/bapa untuk memerhatikan anak-anak ketika yang lain sedang sibuk berurusan dengan pelanggan.

4)      Selain keperluan tempat, keperluan asas yang lain seperti minuman dan makanan juga perlu dibawa bersama agar anak-anak tidak dahaga atau kelaparan. Bimbang jika anak-anak merengek meminta makanan atau minuman, ibu atau bapa menjadi marah dan membiarkan anak sebegitu. Sediakan keperluan asas mereka sebelum bersedia mengikuti aktiviti jualan tersebut.

No comments:

Post a Comment