Tuesday, 12 July 2016

SOAL JAWAB KAUNSELING REMAJA: 4 JULAI 2016


Lebaran Menyucikan Jiwa dan Hati

Salam Lebaran 2016 buat semua.


Sucikan jiwa, jernihkan hati dan maniskan tutur kata. Lebaran membangkitkan sejuta makna buat mereka yang akur dan bijak mengamatinya. Usah terbeban dengan bicara hati yang prejudis, negatif serta mengeluh tentang semua hal yang berkaitan dengan Lebaran. Cipta keriangan dan kemeriahan mengikut acuan sendiri. Paling penting, bijak menguruskan masa dan kewangan sepanjang tempoh lebaran ini.

Seeloknya juga, nikmatilah keriangan dan masa lapang bersama keluarga. Usah kritik tentang itu dan ini kerana Lebaran ini hadirnya cuma sekali setahun (tidak termasuk Raya Korban). Lebaran ini amat unik kerana setiap daripada kita diberikan peluang dan kesempatan untuk meningkatkan amal ibadat. Yang pasti, pintu-pintu syurga terbuka luas untuk sesiapa sahaja yang beramal.

Sepertimana sambutan lebaran yang lalu, kemeriahan tahun ini semakin bertambah. Kepelbagaian program dan aktiviti berkeluarga disusun sebaiknya. Saya kira, ianya juga peluang untuk menjemput rezeki iaitu dengan BERSEDEKAH. Sedekah menerusi acara makan-makan, meraikan anak dan sepupunya serta umumnya merapatkan silaturrahim antara keluarga. Ketahuilah, ianya adalah hadiah terindah buat ayahbonda apabila mendengar tawa riang anak-anak dan menantu serta cucu-cucunya. Dan saya sepertimana kebiasaannya akan menjadi penggerak segala aktiviti berbaur muafakat dan kebersamaan dalam keluarga. Syukur! Tuhan kurniakan seorang suami yang penyayang, pemurah serta pendokong utama. Segala niat dan rancangan saya disokong. Syukur juga dipertemukan dengan keluarga mertua serta saudara mara sebelah suami yang CUKUP BAIK dan Cakna. Inilah perancangan Allah yang terbaik.

Ringkasnya, lebaran menyucikan jiwa dan Hati. Luangkanlah masa yang berkualiti untuk meraikan insan-insan tersayang.









Thursday, 1 October 2015

PANDUAN BERNIAGA DENGAN ANAK KECIL DI BAZAR

Ada di kalangan ibu bapa yang akan membawa anak-anak ke pasar atau pusat membeli belah apabila mereka berniaga. Artikel ini memberi panduan kepada ibu bapa cara selamat membawa anak ke tempat bisnes.

Situasi 1:

Kelihatan seorang ibu sibuk berniaga di pasar malam. Ada anak kecil di sampingnya menanti penuh setia. Tersenguk-sengguk keletihan sementara menunggu ibu berniaga alatan permainan. Mata keletihan mahu terlelap, sayangnya tiada ruang untuknya merebahkan badan.


Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Menyediakan tilam kecil atau alas tikar dan kipas angin yang selesa buat anak. Alas seperti tilam yang bersaiz sederhana berserta kipas angin akan memberikan suasana yang selesa buat anak untuk baring atau merebahkan badan.
2)      Penggunaan “Swing and rocker” yang mudah alih juga digalakkan. Alat ini boleh dibeli di kebanyakan kedai permainan/ peralatan kanak-kanak di mana ia boleh bertindak sebagai buaian serta kerusi tetap/ kerusi malas buat anak. Selain menggunakan bateri, peralatan ini juga agak mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Selain bertindak sebagai alat permainan yang mengasyikkan buat anak, ia juga boleh digunakan ketika anak penat dan keletihan serta ingin tidur.
3)      Kereta sorong juga boleh digunakan sebagai alat bantuan buat anak-anak. Ianya menjadi satu kemestian bagi ibu-ibu yang ingin ke mana-mana untuk melakukan tugasan yang tertentu. Selain berfungsi sebagai alat untuk membawa anak bersiar-siar, kereta sorong (stroller) juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk anak berehat apabila keletihan. Alatan ini boleh menjimatkan ruang dan diletakkan di sisi ibu. bagi menjadikannya lebih selesa, maka pastikan penyediaan kipas mini dilekatkan pada bahagian atas kereta sorong. Namun, penggunaan kipas angin mini juga pilihan yang lebih baik.
4)      Jika anak masih bayi, maka penggunaan alat kapsul bayi adalah sesuai. Pastikan ianya diletakkan di tempat yang redup dan di sisi ibu. paling tidak, penyediaan alatan ini menandakan kepekaan ibu terhadap keperluan anak untuk berehat apabila mereka keletihan serta mengantuk. Adalah amat tidak elok untuk membiarkan anak-anak tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk.



Situasi 2:

Peniaga pisang tekun menggoreng pisang yang ditempah pelanggan. Anak kecil di sebelah seronok bermain tanpa menghiraukan bahaya minyak panas yang mungkin terpercik ke arahnya. 

Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Paling praktikal untuk membawa bersama pembantu yang lain yang boleh memerhatikan anak-anak ketika ibu sedang sibuk menyediakan tempahan pelanggan. Jika ibu mempunyai pembantu dan tidak bersendirian ketika meniaga, maka peranan dan tanggungjawab boleh diagihkan bersama. Anak-anak juga tidak terabai dan dibawah kawalan dan pemerhatian.
2)      Memastikan penggunaan kuali dan tempat menggoreng adalah selamat seperti tinggi dan tidak boleh dicapai, kukuh dan tidak mudah terbalik. Penyediaan dan penggunaan peralatan yang selamat ini bukan sahaja penting buat anak-anak tetapi juga si ibu kerana proses ini melibatkan bahan-bahan yang agak berbahaya iaitu api dan minyak panas. Jika tempat letak kuali juga agak goyang dan tidak stabil, dikhuatiri kuali akan terbalik pada bila-bila masa dan membahayakan yang lain termasuk peniaga sendiri.
3)      Selain itu, penggunaan penghadang api atau minyak panas di sekeliling kuali besar ketika menggoreng adalah langkah pencegahan yang baik. Penghadang  yang diperbuat daripada bahan-bahan tahan panas boleh menghalang minyak panas daripada terpercik ke arah pelanggan atau peniaga. Penghadang ini biasanya dipasang di sekeliling dapur atau kuali.
4)      Menyediakan tempat khas buat anak untuk bermain atau berehat. Selain itu, menyediakan keperluan anak-anak supaya mereka leka dan tidak bertindak agresif ketika ibu sedang berniaga. Alat permainan yang disukai anak perlu dibawa bersam. Tips ini menggalakkan anak-anak untuk lebih peka melakukan sesuatu aktiviti yang disukai tanpa mengganggu tugas ibu.

Situasi 3

Ramai pengunjung memeriahkan jualan gudang di pasaraya A. Kesempatan itu digunakan oleh peniaga untuk melonjakkan jualan. Ada sebilangan kecil peniaga yang membawa anak-anak membantunya berniaga. Dalam keributan orang, dibimbangi anak kecil itu berisiko untuk hilang atau tercedera.

Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Didik anak-anak secara berhemah tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan jika mereka mengikut ibu bapa ke tempat jualan tersebut. Bina kontrak perjanjian secara tidak formal dengana anak-anak sebagai satu usaha untuk mewujudkan kefahaman tentang bahaya. Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak tentang risiko atau bahaya yang mungkin wujud. Didikan ini perlu dilakukan secara konsisten dan sering diberitahu kepada anak-anak termasuk juga langkah-langkah jika berlaku hal yang tidak diingini seperti hilang atau cedera.
2)      Penyediaan staf atau pembantu yang mencukupi memandangkan penjualan gudang ini agak sibuk dan ramai orang. Maka ibu bapa wajib melantik seseorang untuk memerhatikan anak-anak dan pastikan orang itu adalah tidak leka dan penuh berhati-hati. Bimbang jika pemerhati sendiri leka dan tidak boleh diharap. Kakitangan yang mencukupi membolehkan tanggungjawab dan peranan dimainkan secara bijaksana dan sistematik.
3)      Sebaiknya bawalah anak-anak yang sudah boleh diharap mengikut peringkat usia yang bersesuaian. Elakkan membawa anak-anak yang masih terlalu kecil atau agak lasak dan agresif ke tempat sebegitu. Selain membahayakan dirinya, ia juga menyebabkan fokus ibu bapa akan terganggu jika sesuatu berlaku kepada anak-anak atau agak cemas ketika menguruskan anak sambil berniaga.
4)      Penyediaan alatan dan keperluan asas seperti kerusi, makanan dan minuman, kipas mini, adalah perlu bagi memastikan keperluan asas tersedia jika diperlukan. Kerusi atau tempat duduk untuk berehat ketika penat amat perlu difikirkan. Ibu bapa perlu peka dengan limitasi kecergasan anak-anak dan tidak harus disamakan dengan tenaga yang dimiliki oleh orang dewasa. Justeru, keperluan dan alatan ini perlu disediakan bagi memberikan keselesaan buat anak-anak.

Situasi 4. 

Banyak barang dagangan diletakkan di bonet kereta. Jualan car boot sale sedang berlangsung. Anak kecil yang mengikut ibu keletihan dan sesetengahnya tidur di ruang tempat duduk belakang kenderaan. Tampak tidak selesa, namun itulah yang termampu ibu berikan.

Tips yang boleh dipraktikkan:

1)      Sama juga seperti situasi yang sebelum ini. Keperluan penyediaan tempat yang sesuai untuk anak berehat ketika kepenatan dan sebagainya. Tempat ini perlu disediakan peralatan yang bersesuaian untuk mereka berehat dan tidur. Penggunaan tilam empuk bersaiz sederhana, kipas angin mini, kereta sorong/ buaian mudah alih mampu memberikan keselesaan buat anak-anak. Selain itu, pastikan tempatnya agak redup dan tidak terlalu terdedah kepada terik mentari.
2)      Khemah kecil juga boleh dibawa bersama dan diletakkan di bahagian tepi kereta atau tempat yang terdekat. Selain memberikan mood untuk bermain dan berimaginasi, anak-anak juga mempunyai tempat untuk berehat.
3)      Elakkan bersendirian dalam melakukan aktiviti jualan ini. Wajib membawa bersama pembantu dalam kalangan keluarga terdekat atau penjaga yang boleh diharap.  Mereka ini boleh membantu ibu/bapa untuk memerhatikan anak-anak ketika yang lain sedang sibuk berurusan dengan pelanggan.

4)      Selain keperluan tempat, keperluan asas yang lain seperti minuman dan makanan juga perlu dibawa bersama agar anak-anak tidak dahaga atau kelaparan. Bimbang jika anak-anak merengek meminta makanan atau minuman, ibu atau bapa menjadi marah dan membiarkan anak sebegitu. Sediakan keperluan asas mereka sebelum bersedia mengikuti aktiviti jualan tersebut.

Thursday, 12 February 2015

SPIRITUAL KUKUH DIADILI YANG MAHA ESA

Assalamualaikum semua.

Ringkas sahaja perkongsian saya ini iaitu berkenaan dengan elemen spiritual. Pada hemah saya, spiritual yang kukuh adalah petanda jatidiri yang matang, hebat dan teguh. Penilaian yang seadilnya adalah dari Yang Maha Esa. Manusia hanya mampu melihat dari sudut mata kasar sahaja. Pedulikanlah apa yang tidak baik atau tohmahan, perteguhkanlah keyakinan kepada Yang Maha Esa. Insya Allah, limpah kurniaNya akan sentiasa ada buat kita semua.

Spiritual teguh, jiwa nan utuh.

Sunday, 25 January 2015

KAEDAH URUTAN UNTUK BAYI

DISEDIAKAN OLEH:

PUAN SITI FATIMAH ABDUL GHANI K.B.,P.A
KAUNSELOR BERDAFTAR/ PERUNDING PSIKOLOGI KANAK-KANAK, REMAJA DAN DEWASA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA



Segmen ini untuk kanak-kanak antara usia bawah 6 tahun.
                                          
Panduan selamat urut anak


  1. Usia paling sesuai untuk seorang anak kecil menerima urutan pada tubuh mereka. Boleh puan jelaskan tentangnya?
Pada asasnya, definisi urutan adalah amat luas. Urutan secara kasarnya berkemungkinan besar tertumpu kepada kaedah rawatan menggunakan tangan, jari, kaki atau anggota badan yang tertentu terhadap beberapa bahagian badan sama ada sakit, penat, bermasalah ataupun yang memerlukan rawatan. Namun apabila diperincikan, urutan juga boleh berlaku dalam situasi yang melibatkan sentuhan lembut dari seorang individu kepada individu yang lain khususnya bayi untuk mewujudkan satu getaran rasa yang aman, tenang bahagia dan selamat.
Justeru, apabila menyentuh tentang urutan kepada bayi, maka ianya boleh dilakukan mengikut cara dan kaedah yang lembut dan penuh kasih sayang serta berhati-hati. Urutan ini boleh dilakukan kepada semua peringkat usia bayi dengan mengambil kira fahaman urutan lembut dan bertujuan untuk menimbulkan rasa aman, selamat dan seronok dalam kalangan bayi sehingga ke peringkat kanak-kanak. Fahaman ini selaras dengan perspektif psikologi menerusi Teori Hierarki Keperluan Manusia oleh seorang tokoh psikologi Barat iaitu Abraham Maslow. Menerusi hierarki keperluan ini, peringkat paling asas yang perlu dipenuhi oleh manusia itu ialah keperluan fisiologi, keperluan keselamatan dan seterusnya keperluan kasih- sayang. Ketiga-tiga keperluan ini diyakini membolehkan setiap manusia itu berkembang dengan sihat, positif dan mencapai tahap kesempurnaan kendiri apabila dewasa.
Menyentuh tentang hierarki keperluan ini, jelas bahawa urutan dalam bentuk sentuhan kasih-sayang oleh ibu bapa atau penjaga serta orang dewasa kepada bayi merupakan antara salah satu cara berkesan dalam pengaliran tenaga positif terhadap bayi. Pun begitu, perlu ditekankan di sini bahawa sekiranya urutan itu melibatkan masalah-masalah bahagian badan bayi, maka sebaiknya perlu dirujuk kepada bantuan perubatan yang sepatutnya. Keadaan ini mengambil kira sesetengah ibu bapa atau penjaga yang mudah cemas atau tidak mempunyai cukup pengetahuan dan kemahiran berkenaan sistem badan bayi. Terdapat segelintir mereka yang cenderung untuk membuat urutan kepada bayi yang mungkin terjatuh atau terseliuh. Maka urutan dalam keadaan ini dikhuatiri boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan bayi.
  1. Kelebihan urutan untuk kanak-kanak.
Dalam pendekatan psikoterapi, terdapat satu kaedah terapi dikenali sebagai Theraplay Therapy. Kaedah ini merupakan satu kaedah yang melibatkan sentuhan dan belaian yang dikaitkan dengan perluahan emosi antara ibu atau bapa dan anak mereka. Kaedah ini semakin dipopularkan oleh pengamal psikoterapi di Malaysia kerana ia mampu mengeratkan hubungan dan keakraban antara ibu bapa dan anak. Sesi Theraplay Therapy diyakini mampu menimbulkan jalinan emosi yang positif, mesra dan aktif anatara ibu bapa/ penjaga dengan kanak-kanak. Selain itu, ia juga membantu dalam menghasilkan persepsi positif kanak-nakan terhadap diri mereka dari aspek keselamatan dan kasih- sayang.
Theraplay ini bersesuaian dengan semua tahap usia kanak-kanak termasuk bayi, dan ianya juga jika digabungkan dengan kaedah atau teknik yang bersesuaian maka ia juga sesuai untuk remaja (dengan mengambil kira norma sosial, budaya dan agama).  Menerusi Theraplay, corak interaksi dalam keluarga juga boleh diperbaiki, malahan secara saintifiknya juga, pelbagai kajian dikebanyakan Negara Barat mendapati kaedah urutan dan sentuhan Theraplay menghasilkan perubahan positif terhadap tingkah laku kanak-kanak, keyakinan diri, dan kemahiran sosial dengan orang lain. Theraplay ini membantu dan berkesan kepada kanak-kanak yang mempunyai pengalaman trauma serta pelbagai masalah emosi yang lain. Antara kaedah terapi yang sering dijalankan menerusi kemahiran ini ialah seperti urutan lembut, sentuhan erat dan belaian manja kepada anak-anak seperti penggunaan losyen, bedak, minyak zaitun dan banyak lagi. Situasi ini pastinya telah biasa dilakukan, namun ianya hanyalah aktiviti biasa dan bukan berbentuk terapeutik kerana kurang penglibatan emosi yang positif antara ibu bapa dan anak. Jika aktiviti ini disertai dengan perluahan emosi yang nyaman, bahagia, seronok serta penuh kasih- sayang maka sudah pasti ia mampu memberi kesan yang luar biasa dalam bentuk emosi dan spiritual kepada ibu bapa dan anak.
Selain daripada aspek psikologi, urutan juga amat bermanfaat kepada bayi atau kanak-kanak menerusi aspek perubatan. Antara manfaat urutan menerusi perspektif perubatan ialah seperti berikut:
> Memperbaiki perjalanan darah.
> Merangsang deria.
> Mengurangkan tekanan.
> Memperbaiki sistem penghadaman.
> Meningkatkan daya ketahanan badan.
> Merangsang perkembangan fizikal dan psikologi.
> Membantu memudahkan bayi tidur.
> Merangsang aliran oksigen dalam badan.
> Memudahkan penyingkiran bahan toksin.
> Membantu perkembangan fungsi otot.
> Membantu meredakan kesakitan apabila demam.
> Merangsang penghasilan hormon.
  1. Apakah panduan selamat untuk pilih jenis urutan pada anak-anak.
Antara panduan selamat untuk memilih jenis urutan pada anak-anak ialah seperti berikut:
-       Mempunyai pengetahuan asas berkenaan jenis-jenis urutan
-       Mengetahui tentang tempat atau bahagian badan bayi yang sensitif dan perlu dielakkan. Contohnya bahagian yang melibatkan percantuman otot-otot, deria-deria penglihatan, otak, usus dan juga organ dalaman.
-       Dilakukan dengan cara yang lembut dan tidak menyakitkan
-       Tidak memaksa atau mendesak anak untuk menerima urutan kerana dikhuatiri akan memudaratkan anak-anak baik secara fizikal mahupun emosi.
-       Mendapatkan latihan asas menerusi pembacaan, bengkel atau yang berkaitan.

  1. Ibu bapa yang mahu mengurut anaknya sendiri di rumah. Apakah teknik selamat yang boleh dipraktikkan.
Teknik yang paling selamat ialah dengan menggunakan minyak urut atau losyen yang bersesuaian agar tidak berlaku infeksi terhadap kulit atau bahagian badan anak-anak. Antara bahagian yang dianggap sebagai paling asas untuk urutan ialah muka dan tapak tangan dan kaki. Secara tradisionalnya kaedah urutan sering dilakukan sejak bayi baru dilahirkan lagi seperti bahagian muka, kaki, tangan danm juga badan (sekitar perut bayi) terutamanya dalam tempoh pasca kelahiran. Selain tujuannya untuk memberi keselesaan kepada bayi, urutan pada peringkat ini juga bertujuan untuk membentuk kaki dan tangan yang lurus dan tidak bengkok tetapi dilakukan secara lembut dan berhati-hati. Kaedah tradisional yang dilakukan oleh kebanyakan ibu ialah bendung bayi dengan membalut bayi pada bahagian perut bagi mengelak masalah kembung perut serta angin. Begitu juga kaedah bendung badan bayi secara menyeluruh selain bahagian muka bagi membolehkan bayi tidur dengan lena,  selesa dan pembentukan bahagian badan yang elok.
  1. Langkah demi langkah untuk memulakan urutan yang selamat.
Kaedah di bawah boleh dijadikan panduan.
Mulakan urutan dengan:
1. Kaki — Urut menghala menjauhi jantung dengan usapan bentuk C. Urutan bermula di buku lali, bergerak ke paha dan balik ke buku lali. Bengkok dan luluskan kaki bayi serta buat pergerakan seperti mengayuh dan lakukannya secara perlahan-lahan. Buat latihan jari dengan membengkok dan meluruskan setiap jari supaya semua sendi digerakkan. Tolak sedikit jari ke belakang perlahan-lahan.
2. Perut — Gunakan kedua-dua tangan. Lebih mudah jika anda di hujung kepala bayi. Urut perutnya perlahan-lahan dalam bentuk huruf U. Pegang kakinya dan bengkokkan hingga ke perut.
3. Tangan — Ulang proses sama seperti mengurut kaki.
4. Dada — Urut dengan menggunakan tapak tangan. Urut ke arah keluar (melintang) dari tengah dada menghala ke atas sehingga ke bahu, dan turun ke tulang rusuk. Urut secara menyerong dari paha kanan ke bahu kiri. Ulang untuk kaki sebelah lagi.
5. Muka — Urut secara bulatan kecil pada kulit kepala. Urutan ini juga boleh dilakukan ketika mandi dan memakai syampu. Usap dahi, keliling mata dan kening. Untuk pipi, usap secara melintang dari tulang pipi ke telinga. Urut secara bulatan di bawah dagu, keliling telinga dan tengkuk. Urut perlahan-lahan dengan memberi sedikit tekanan. Cara ini akan membuatkan bayi berasa lebih selesa.
6. Belakang badan — Tiarapkan bayi anda. Gunakan minyak dan urut badan belakang dari atas tulang belakang hingga ke pangkal punggung menggunakan kedua-dua tangan. Buat urutan secara bulatan dari bahu, turun ke badan, punggung, paha dan kaki.
Urut bahu menggunakan tapak tangan dan akhiri dengan satu usapan panjang dari bahu ke kaki. Urutan ini mengambil masa antara 20 hingga 30 minit dan kanak-kanak akan lebih tenang serta segar apabila diurut.
(Sumber
  1. Adakah kaedah urutan tertentu untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur.
Sebaiknya dicadangkan agar ibu bapa atau penjaga berusaha untuk meningkatkan pengetahuan berkenaan kaedah urutan kepada bayi menerusi pembacaan, perkongsian maklumat serta komunikasi seharian supaya perkara baik dan bermanfaat ini boleh dikongsi bersama-sama individu yang lain.





PLAY DOH YANG SELAMAT UNTUK KANAK-KANAK (KELEBIHAN AND KEKURANGAN)

Soalan:

1. Apa kelebihan/kekurangan bermain playdoh.
Kelebihan:
1.     Meningkatkan kreativiti pada peringkat awal kanak-kanak.
2.     Membina imaginasi kreatif anak-anak
3.     Mempertingkatkan kemahiran sensori motor kanak-kanak
4.     Melatih kanak-kanak menghubungkan kemahiran sosial dan kognitif menerusi aktiviti play doh bersama rakan-rakan seusia ataupun ditemani oleh orang dewasa/ yang lebih tua dari mereka.
5.     Menerokai perkara baru yang berlaku di sekeliling mereka dan membentuk keyakinan diri dan pemikiran yang lebih terbuka
Kekurangan:
1.     Jika tidak dipantau, dikhuatiri memudaratkan kesihatan jika tertelan atau tergigit, terutamanya jika play doh itu mengandungi bahan yang beracun dan tidak selamat.
2.     Mungkin tidak sesuai dan tidak selamat kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah alergik dan sebagainya untuk bermain dengan play doh.

2. Bagaimana mahu memastikan anak kita bermain playdoh dengan selamat.
1.     Pemilihan Play doh yang selamat, tiada bahan terlarang yang memudaratkan kesihatan
2.     Pemantauan oleh orang dewasa agar tidak dimakan atau dimasukkan ke dalam mulut ketika bermain
3.     Menyediakan play doh sendiri mengikut resepi yang lebih selamat, jimat dan bebas bahan kimia yang beracun.
4.     Perlu mengutamakan konsep kebersihan iaitu membersihkan tangan setelah habis bermain supaya kebersihan terjaga.
5.     Memastikan penggunaan peralatan untuk membentuk play doh itu adalah bersih dan selamat.
6.     Ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak mereka dalam meluahkan idea dengan rasa yang selesa tanpa rasa yang takut dan teragak-agak meluahkannya. Hal ini penting agar anak anda boleh fokus dalam menerokai dunia ini tanpa gangguan tetapi panduan dari ibu bapa. Justeru, play doh adalah antara jenis aktiviti yang boleh dilakukan bersama ibu bapa dan anak-anak.
7.     Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang membantu daya kreativiti dalam diri anak mereka.
3. Semasa anak bermain playdoh apa yang mereka pelajari.
1.     Mempertingkatkan kemahiran sensori motor dan imaginasi mereka.
2.     Menghubungkan sel-sel otak iaitu mengaktifkan otak kanan dan kiri apabila melibatkan proses kognitif, emotif dan tingkah laku.
3.     Mereka juga akan membentuk nilai-nilai seperti berdikari, ketabahan, dan mungkin mempunyai kelebihan mewujudkan suasana yang ceria dalam interaksi.
4.     Berinteraksi dengan rakan-rakan ataupun ibu bapa bagi meluahkan emosi mereka menerusi aktiviti bersama.
5.     Meningkatkan kemahiran berfikir, menaakul dan fokus dalam tingkah laku menerusi kaedah bermain.
                   
4. Seawal umur berapa ibu bapa boleh dedahkan permainan playdoh ini pada anak2?
Sebaiknya 3 tahun dan ke atas di mana anak-anak telah mula bijak untuk berimaginasi, menerima arahan, bermain dan berkebolehan dalam menggunakan kemahiran sensori motor. Kanak-kanak yang lahir mempunyai kecenderungan untuk menjadi seorang yang kreatif. Walaupun kreativiti seseorang itu tidak boleh diajar secara langsung, tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membantu membina daya kreativiti anak mereka.



Thursday, 18 July 2013

Borak Ramadhan.


Salam sejahtera semua,

Entahlah, tiba-tiba rasa terdetik untuk menulis dan ada blog sendiri. Sebelum ini, memang pernah aktif menulis di blog, kemudian kesibukan melanda lantaran terlalu banyak urusan diri serta keluarga, maka aktiviti menulis blog terhenti macam tu sahaja. Sedih juga sebab banyak info menarik tercatat di blog tersebut namun sayangnya password terlupa, maka segalanya terhenti di situ.

Niat sebenar untuk berkongsi pandangan serta komentar dengan semua yang sudi berkenaan apa-apa isu yang berkaitan. Saya yakin semua orang mempunyai pengalaman dan setiap pengalaman itu sama ada suka atau sebaliknya ternyata sangat berharga. ya SANGAT BERHARGA. Pokok pangkalnya ialah cara bagaimana kita menghargai dan mengamati pengalaman itu.

Hmmmm...hari ini dah masuk Ramadhan yang ke 10. Sepatutnya dan seeloknya amal ibadah dipertingkatkan. Di sana sini pula ramai yang sedang sibuk dengan persiapan menyambut Syawal, manakal di fbook pula ramai yang teruja memperihalkan menu harian mereka. Pada saya, semua itu hak masing-masing dan tiada salah apapun. Segalanya tentang ekspresif diri dalam bentuk yang berbeza. Maka terpulanglah untuk bercerita apapun jua asalkan tidak menyusahkan sesiapa. OK...itu aje untuk permulaannya. Sesiapa yang berminat untuk berkongsi tentang pengalaman Ramadhan, jomler kongsi. Kita cerita.