Ada di
kalangan ibu bapa yang akan membawa anak-anak ke pasar atau pusat membeli belah
apabila mereka berniaga. Artikel ini memberi panduan kepada ibu bapa cara
selamat membawa anak ke tempat bisnes.
Situasi 1:
Kelihatan seorang ibu sibuk berniaga di pasar malam. Ada anak kecil di
sampingnya menanti penuh setia. Tersenguk-sengguk keletihan sementara menunggu
ibu berniaga alatan permainan. Mata keletihan mahu terlelap, sayangnya tiada
ruang untuknya merebahkan badan.
Tips yang boleh
dipraktikkan:
1) Menyediakan tilam kecil atau alas
tikar dan kipas angin yang selesa buat anak. Alas seperti tilam yang bersaiz
sederhana berserta kipas angin akan memberikan suasana yang selesa buat anak
untuk baring atau merebahkan badan.
2) Penggunaan “Swing and rocker”
yang mudah alih juga digalakkan. Alat ini boleh dibeli di kebanyakan kedai
permainan/ peralatan kanak-kanak di mana ia boleh bertindak sebagai buaian
serta kerusi tetap/ kerusi malas buat anak. Selain menggunakan bateri,
peralatan ini juga agak mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Selain bertindak
sebagai alat permainan yang mengasyikkan buat anak, ia juga boleh digunakan
ketika anak penat dan keletihan serta ingin tidur.
3) Kereta sorong juga boleh
digunakan sebagai alat bantuan buat anak-anak. Ianya menjadi satu kemestian
bagi ibu-ibu yang ingin ke mana-mana untuk melakukan tugasan yang tertentu.
Selain berfungsi sebagai alat untuk membawa anak bersiar-siar, kereta sorong
(stroller) juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk anak berehat apabila
keletihan. Alatan ini boleh menjimatkan ruang dan diletakkan di sisi ibu. bagi
menjadikannya lebih selesa, maka pastikan penyediaan kipas mini dilekatkan pada
bahagian atas kereta sorong. Namun, penggunaan kipas angin mini juga pilihan yang
lebih baik.
4) Jika anak masih bayi, maka penggunaan alat
kapsul bayi adalah sesuai. Pastikan ianya diletakkan di tempat yang redup dan
di sisi ibu. paling tidak, penyediaan alatan ini menandakan kepekaan ibu
terhadap keperluan anak untuk berehat apabila mereka keletihan serta mengantuk.
Adalah amat tidak elok untuk membiarkan anak-anak tersengguk-sengguk menahan
rasa mengantuk.
Situasi
2:
Peniaga pisang tekun menggoreng pisang yang ditempah pelanggan. Anak
kecil di sebelah seronok bermain tanpa menghiraukan bahaya minyak panas yang
mungkin terpercik ke arahnya.
Tips yang boleh
dipraktikkan:
1) Paling praktikal untuk membawa
bersama pembantu yang lain yang boleh memerhatikan anak-anak ketika ibu sedang
sibuk menyediakan tempahan pelanggan. Jika ibu mempunyai pembantu dan tidak
bersendirian ketika meniaga, maka peranan dan tanggungjawab boleh diagihkan
bersama. Anak-anak juga tidak terabai dan dibawah kawalan dan pemerhatian.
2) Memastikan penggunaan kuali dan
tempat menggoreng adalah selamat seperti tinggi dan tidak boleh dicapai, kukuh
dan tidak mudah terbalik. Penyediaan dan penggunaan peralatan yang selamat ini
bukan sahaja penting buat anak-anak tetapi juga si ibu kerana proses ini
melibatkan bahan-bahan yang agak berbahaya iaitu api dan minyak panas. Jika
tempat letak kuali juga agak goyang dan tidak stabil, dikhuatiri kuali akan
terbalik pada bila-bila masa dan membahayakan yang lain termasuk peniaga
sendiri.
3) Selain itu, penggunaan
penghadang api atau minyak panas di sekeliling kuali besar ketika menggoreng
adalah langkah pencegahan yang baik. Penghadang
yang diperbuat daripada bahan-bahan tahan panas boleh menghalang minyak
panas daripada terpercik ke arah pelanggan atau peniaga. Penghadang ini
biasanya dipasang di sekeliling dapur atau kuali.
4) Menyediakan tempat khas buat
anak untuk bermain atau berehat. Selain itu, menyediakan keperluan anak-anak
supaya mereka leka dan tidak bertindak agresif ketika ibu sedang berniaga. Alat
permainan yang disukai anak perlu dibawa bersam. Tips ini menggalakkan anak-anak
untuk lebih peka melakukan sesuatu aktiviti yang disukai tanpa mengganggu tugas
ibu.
Situasi 3
Ramai pengunjung memeriahkan jualan gudang di pasaraya A. Kesempatan itu
digunakan oleh peniaga untuk melonjakkan jualan. Ada sebilangan kecil peniaga
yang membawa anak-anak membantunya berniaga. Dalam keributan orang, dibimbangi
anak kecil itu berisiko untuk hilang atau tercedera.
Tips yang boleh dipraktikkan:
1) Didik anak-anak secara berhemah
tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan jika mereka mengikut ibu bapa
ke tempat jualan tersebut. Bina kontrak perjanjian secara tidak formal dengana
anak-anak sebagai satu usaha untuk mewujudkan kefahaman tentang bahaya. Ibu
bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak tentang risiko atau bahaya yang
mungkin wujud. Didikan ini perlu dilakukan secara konsisten dan sering
diberitahu kepada anak-anak termasuk juga langkah-langkah jika berlaku hal yang
tidak diingini seperti hilang atau cedera.
2) Penyediaan staf atau pembantu
yang mencukupi memandangkan penjualan gudang ini agak sibuk dan ramai orang.
Maka ibu bapa wajib melantik seseorang untuk memerhatikan anak-anak dan
pastikan orang itu adalah tidak leka dan penuh berhati-hati. Bimbang jika
pemerhati sendiri leka dan tidak boleh diharap. Kakitangan yang mencukupi membolehkan
tanggungjawab dan peranan dimainkan secara bijaksana dan sistematik.
3) Sebaiknya bawalah anak-anak yang
sudah boleh diharap mengikut peringkat usia yang bersesuaian. Elakkan membawa
anak-anak yang masih terlalu kecil atau agak lasak dan agresif ke tempat
sebegitu. Selain membahayakan dirinya, ia juga menyebabkan fokus ibu bapa akan
terganggu jika sesuatu berlaku kepada anak-anak atau agak cemas ketika
menguruskan anak sambil berniaga.
4) Penyediaan alatan dan keperluan
asas seperti kerusi, makanan dan minuman, kipas mini, adalah perlu bagi
memastikan keperluan asas tersedia jika diperlukan. Kerusi atau tempat duduk
untuk berehat ketika penat amat perlu difikirkan. Ibu bapa perlu peka dengan
limitasi kecergasan anak-anak dan tidak harus disamakan dengan tenaga yang
dimiliki oleh orang dewasa. Justeru, keperluan dan alatan ini perlu disediakan
bagi memberikan keselesaan buat anak-anak.
Situasi
4.
Banyak barang dagangan diletakkan di bonet kereta. Jualan car boot sale sedang
berlangsung. Anak kecil yang mengikut ibu keletihan dan sesetengahnya tidur di
ruang tempat duduk belakang kenderaan. Tampak tidak selesa, namun itulah yang
termampu ibu berikan.
Tips yang boleh dipraktikkan:
1) Sama juga seperti situasi yang sebelum ini.
Keperluan penyediaan tempat yang sesuai untuk anak berehat ketika kepenatan dan
sebagainya. Tempat ini perlu disediakan peralatan yang bersesuaian untuk mereka
berehat dan tidur. Penggunaan tilam empuk bersaiz sederhana, kipas angin mini,
kereta sorong/ buaian mudah alih mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Selain itu, pastikan tempatnya agak redup dan tidak terlalu terdedah kepada
terik mentari.
2) Khemah kecil juga boleh dibawa bersama dan
diletakkan di bahagian tepi kereta atau tempat yang terdekat. Selain memberikan
mood untuk bermain dan berimaginasi, anak-anak juga mempunyai tempat untuk
berehat.
3) Elakkan bersendirian dalam melakukan
aktiviti jualan ini. Wajib membawa bersama pembantu dalam kalangan keluarga
terdekat atau penjaga yang boleh diharap.
Mereka ini boleh membantu ibu/bapa untuk memerhatikan anak-anak ketika
yang lain sedang sibuk berurusan dengan pelanggan.
4) Selain keperluan tempat, keperluan asas yang
lain seperti minuman dan makanan juga perlu dibawa bersama agar anak-anak tidak
dahaga atau kelaparan. Bimbang jika anak-anak merengek meminta makanan atau
minuman, ibu atau bapa menjadi marah dan membiarkan anak sebegitu. Sediakan
keperluan asas mereka sebelum bersedia mengikuti aktiviti jualan tersebut.